Facebook Datok Key

Monday, October 10, 2011

myMetro | Ajar teknik kawal tekanan

myMetro | Ajar teknik kawal tekanan

Ajar teknik kawal tekanan

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin
norlaila@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERDESAK...tekanan perasaan tidak berbendung boleh mengakibatkan tindakan nekad.
TERDESAK...tekanan perasaan tidak berbendung boleh mengakibatkan tindakan nekad.
TERDESAK...tekanan perasaan tidak berbendung boleh mengakibatkan tindakan nekad.
TERDESAK...tekanan perasaan tidak berbendung boleh mengakibatkan tindakan nekad.

INSIDEN remaja atau golongan muda bertindak agresif di luar batas kemanusiaan kepada keluarga sendiri semakin menjadi-jadi.

Kadangkala disebabkan perkara kecil pun ada yang sanggup mencederakan insan yang selama ini banyak berkorban untuk mereka.

Berita seorang gadis di Sabah yang membunuh neneknya selepas disuruh masak nasi sangat menghiris hati. Tambah sedih apabila ada remaja belasan yang nekad membunuh diri sendiri kerana terlalu kecewa hubungan cinta putus di tengah jalan.

Ini antara contoh yang menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja juga mengalami tekanan - aspek yang biasanya dipandang ringan.


Namun Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga pada 2006 mendapati ramai remaja berusia 16 hingga 19 tahun mengalami masalah kesihatan mental (14.4 peratus) berbanding 11.2 peratus di kalangan orang dewasa.


Kajian itu juga menunjukkan secara keseluruhan 11 peratus golongan muda berusia 16 hingga 24 tahun pernah terfikir mahu membunuh diri, kata Pakar Psikiatri Hospital Assunta, Dr Philip George.

Menurut Dr George, remaja adalah zaman peralihan antara alam kanak-kanak ke dewasa di mana kebanyakan perubahan perkembangan fizikal, kognitif dan sosio emosi berlaku dalam tempoh ini.

Jika dulu tempoh remaja bermula dari umur 12 atau 13 tahun ke 20 tahun, tetapi kini tempohnya menjadi lebih panjang iaitu daripada umur 10 hingga 24 tahun.



Ketika remaja inilah mereka banyak belajar kemahiran sosial dan membentuk karektor peribadi yang dipengaruhi oleh:


  • Pencapaian pendidikan
  • Hubungan dengan ibu bapa dan ahli keluarga
  • Peluang untuk berdikari dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri
  • Hubungan dengan adik beradik
  • Hubungan dengan rakan-rakan
  • Peluang bersosial dengan rakan berlainan jantina
  • Kecenderungan terhadap sukan, hobi dan aktiviti


    Namun alam remaja juga adalah alam yang banyak tekanan. Tekanan ini disumbangkan banyak faktor termasuk pendidikan, harapan ibu bapa yang terlalu tinggi, kurang perhatian keluarga, keyakinan diri dan pengaruh rakan-rakan.

    “Trend sekarang yang mana ibu bapa lebih banyak memberi penekanan kepada pencapaian akademik sangat membimbangkan kerana ia secara tidak langsung akan meminggirkan aspek penting lain dalam kehidupan. Kurangkan penekanan terhadap pencapaian anak-anak dalam aspek kehidupan lain boleh mengikis keyakinan diri yang sekali gus akan meningkatkan tekanan.

    “Malangnya ibu bapa sering melihat tekanan sebagai masalah orang dewasa saja, tetapi hakikatnya perkara ini turut berlaku pada kanak-kanak dan remaja.

    “Oleh itu ibu bapa menganggap isu menguruskan tekanan tidak penting bagi kanak-kanak dan remaja. Mereka akan jadi individu yang sangat lemah (emosi dan fikiran) apabila berhadapan dengan tekanan.

    “Kelemahan inilah juga yang boleh membawa remaja kepada kemurungan. Apa yang membimbangkan ialah kemurungan di kalangan remaja semakin meningkat dan biasanya kes lebih banyak berlaku pada remaja perempuan selepas mereka akil baligh,” katanya.

    Selain itu, masalah kurang keyakinan diri (yang sepatutnya dibina sejak kecil) juga perlu diberi perhatian. Ibu bapa boleh meningkatkan keyakinan diri anak-anak kecil dengan memberi ganjaran apabila mereka berbuat baik dan ganjaran terbaik ialah dalam bentuk pujian, bukannya barang atau duit. Pun begitu ibu bapa perlu ingat, tidak kira sayang mana pun mereka kepada anak, anak-anak perlu diberi hukuman apabila melakukan kesalahan.

    “Konsep keibubapaan baru di mana ibu bapa menjadi kawan kepada anak remaja sendiri adalah baik, tetapi perlu ada hadnya. Ibu bapa kena menetapkan peraturan yang perlu dipatuhi dan hukuman (yang dipersetujui anak dan ibu bapa) jika melanggar peraturan ditetapkan. Ajak anak dalam perbincangan supaya dia menghormati peraturan di rumah.

    “Masalahnya ibu bapa sekarang tidak tahu apa yang baik untuk anak-anak mereka dan kebanyakannya lewat memberi hukuman.

    “Hukuman sepatutnya dijalankan sejurus selepas kesalahan dilakukan. Lebih penting, ibu bapa perlu sepakat untuk mendenda anak, tetapi lebih baik jika perkara yang boleh menyebabkan dia dikenakan hukuman itu dapat dielakkan,” katanya.

    Rasa lemah dan kurang keyakinan diri juga boleh mendorong kepada perlakuan berisiko tinggi seperti minum alkohol, salah guna dadah, memandu atau menunggang motosikal dengan laju atau terbabit dalam aktiviti seksual.

    Keinginan membunuh diri juga semakin meningkat di kalangan remaja dan mereka yang ‘lemah’ serta ada masalah kesihatan mental lebih cenderung untuk membunuh diri atau sekurang-kurangnya mencederakan diri sendiri.



    Hubungan keluarga dan sosial


    SELAIN pencapaian dalam pelajaran dan keyakinan diri, faktor hubungan keluarga dan sosial juga boleh membuatkan remaja tertekan.

    Perubahan struktur keluarga iaitu saiz keluarga yang semakin kecil, kedua-dua ibu bapa sibuk bekerja dan kurang meluangkan masa berkualiti untuk berinteraksi dengan anak-anak juga memberi kesan negatif kepada perkembangan remaja.

    Anak-anak akan berasa sunyi dan kesunyian inilah yang boleh mendekatkan remaja dengan kemurungan. Apatah lagi jika ahli keluarga lain tidak memainkan peranan sebagai kumpulan sokongan dan pemberi bimbingan. Maka tidak hairan jika ramai remaja beralih kepada kawan-kawan untuk meluahkan perasaan.

    “Ada satu perkara yang ramai ibu bapa terlepas pandang iaitu tidak membincangkan isu remaja dengan anak ketika mereka kecil. Sebenarnya dari kecil anak perlu diberitahu masalah yang sering dihadapi oleh remaja seperti merokok, salah memilih kawan atau terjebak dengan gejala tidak bermoral. Jadi dari awal mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan jika berhadapan dengan perkara itu,” katanya.

    Apa pentingnya anak kecil dibekalkan dengan ilmu menguruskan tekanan? Ia sangat penting kerana pada umur yang semuda ini anak-anak tidak tahu tindakan sewajarnya yang perlu diambil apabila berhadapan dengan tekanan. Mereka masih belum dapat membezakan tindakan yang diambil boleh mendatangkan kemudaratan.

    Kita tentunya tidak mahu anak-anak yang masih berada di bersekolah mengambil keputusan nekad membunuh diri (dengan pelbagai cara) kerana masalah keluarga, sasaran untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau dibuli oleh rakan-rakan semata-mata tidak dibekalkan dengan kemahiran berhadapan dengan tekanan.

    Projek Gatehouse yang dijalankan selama enam tahun oleh penyelidik Universiti Melbourne, Australia ke atas pelajar sekolah mengenai penggunaan dadah, aktiviti seks, kemurungan dan keinginan membunuh diri mendapati masalah sosial ini menurun sebanyak 50 hingga 66 peratus selepas pelajar dibekalkan dengan ilmu pengurusan tekanan harian.

    “Ramai ibu bapa merungut hubungan dengan anak remaja semakin renggang.
    Sebenarnya remaja ada niat untuk berdikari dan ia perlu digalakkan. Beri ruang untuk berbincang dengan anak-anak, tetapi ibu bapa perlu tahu cara berkomunikasi dengan mereka.

    “Remaja suka kalau ibu bapa terbabit dalam aktiviti mereka walaupun sekadar menjadi penyokong.

    “Kadang-kadang ibu bapa tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Anda boleh mulakan sesi dengan bercerita supaya dia ada ruang untuk bersuara.

    “Melalui cara ini barulah ibu bapa perlahan-lahan dapat menjadi rakan anak dan mereka pula boleh meluahkan masalah, jika ada. Ketika berbincang ini, ibu bapa perlulah meletakkan diri mereka sama taraf dengan anak dan bukan bertindak sebagai ketua keluarga,” katanya.

    Cabaran lain ialah peningkatan pendedahan pada media dan Internet yang mungkin boleh memberitahu remaja bahawa idea membunuh diri atau mencederakan diri sendiri sebagai sesuatu ‘biasa.’

    “Memang banyak perdebatan sama ada media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lainnya boleh menyebabkan kemurungan. Pada masa ini media sosial dianggap mungkin boleh memburukkan kemurungan kepada mereka yang sudah mula mengalami masalah ini. Seseorang remaja mungkin akan berasa lebih tertekan apabila melihat kegembiraan rakan-rakan maya sedangkan dia tidak berpeluang menikmati semua itu.

    “Pada masa sama, media sosial juga boleh mengurangkan peluang untuk membentuk kemahiran bersosial yang asas kerana remaja tidak perlu berinteraksi secara bersemuka. Inilah sebabnya ibu bapa perlu memantau penggunaan media sosial ini supaya anak anda tidak terjebak dengan risiko yang berkaitan dengannya. Bukan sedikit kes rogol dilaporkan membabitkan remaja perempuan apabila bertemu dengan rakan maya mereka. Namun bukan semuanya buruk kerana ada juga laporan mengatakan media sosial ini boleh meningkatkan keyakinan diri seseorang remaja,” katanya.

    Pemakanan dan rehat secukupnya termasuk tidur juga memainkan peranan penting dalam kesihatan mental. Pemakanan kurang berzat atau terlalu banyak makanan diproses seperti makanan segera boleh mendatangkan tekanan pada badan - yang mempengaruhi emosi dan fikiran. Remaja memerlukan antara sembilan hingga 10 jam tidur kerana kekurangan tidur (tidur lewat malam) memang akan memberi kesan negatif pada kesihatan mental mereka.



    Tanda kemurungan remaja


    BERBEZA dengan orang dewasa, tanda kemurungan kanak-kanak dan remaja lebih bersifat fizikal iaitu daripada segi tingkah laku. Antaranya ialah:

  • Selalu berasa sedih atau rasa tidak berguna
  • Tidak lagi mementingkan penampilan dan kebersihan diri
  • Enggan berinteraksi dengan orang lain
  • Suka melanggar peraturan
  • Merosakkan harta benda awam
  • Menunjukkan sikap melawan
  • Tidak mahu ke sekolah
  • Pencapaian akademik merosot
  • Hilang minat terhadap aktiviti kegemaran seperti sukan, membaca, muzik dan lain-lain

  • Perlakuan berisiko seperti merempit, menyalahguna dadah atau terbabit dalam aktiviti seksual

  • Lebih cepat marah dan tergang�gu daripada biasa


    Jika anak anda menunjukkan ciri-ciri di atas, ia menandakan mereka mahukan perhatian ibu bapa atau meminta bantuan dalam diam. Ibu bapa disaran supaya mendapatkan bantuan pakar psikiatri secepat mungkin supaya masalah yang ditanggung anak tidak melarat.

    Menurut Dr George, Befrienders iaitu kumpulan sokongan melalui telefon melaporkan jumlah panggilan yang mengadu mahu membunuh diri semakin mening�kat dan sebahagian pemanggil terdiri daripada remaja.



    Rawatan


    APABILA seseorang berjumpa pakar psikiatri, biasanya ramai beranggapan orang itu sudah ‘tidak betul’ atau gila sehingga menyebabkan sesetengah keluarga berat hati hendak mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor kerana bimbang diberi label yang memalukan.

    Ada keluarga atau ibu bapa lebih rela mengurung anak yang bermasalah di rumah tanpa menyedari tindakan itu sebenarnya akan lebih memburukkan keadaan. Lebih menyedihkan apabila ada sesetengah keluarga merantai si pesakit untuk
    mengelakkan dia keluar dari rumah.

    “Berdasarkan pengalaman saya, ramai remaja yang bersyukur apabila dibawa mendapatkan rawatan kerana mereka sudah tidak tahan lagi menanggung tekanan atau gejala kemurungan. Bantuan profesional boleh datang daripada kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri. Kebanyakan hospital kerajaan dan swasta mempunyai pakar psikiatri atau kaki tangan khas untuk membantu kes berkaitan masalah mental.

    “Pakar psikiatri akan menjalankan penilaian dengan mendapatkan maklumat daripada remaja bermasalah, ibu bapa dan adik beradik. Kemudian mereka akan menjalankan ujian untuk mengetahui jika ada masalah kesihatan lain yang mungkin menjadi punca dan akhirnya mencadangkan pelan rawatan.

    “Rawatan untuk pemikiran membunuh diri akut atau mereka yang ada masalah penyalahgunaan dadah mungkin memerlukan pesakit untuk tinggal di wad buat sementara waktu,” katanya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

    Ubat juga mungkin akan diberikan tetapi sesetengah ubat antikemurungan perlu diambil secara berhati-hati (di bawah pemantauan doktor) kerana pada remaja ia boleh menyebabkan keinginan membunuh diri semakin tinggi dalam beberapa minggu pertama ia diambil.

    Biasanya perubahan dapat dilihat selepas satu atau dua bulan dengan pengambilan ubat yang teratur namun kebanyakan kes perlukan rawatan sekurang-kurangnya selama enam bulan untuk benar-benar ‘pulih’ dan mengelakkan berlakunya pengulangan semula masalah kemurungan.

    Lain-lain rawatan termasuk terapi perlakuan kognitif, hubungan sesama manusia dan kaunseling pada remaja berkenaan dan keluarganya. Kemurungan boleh dirawat dan hampir 80 hingga 90 peratus pesakit sembuh dengan rawatan yang bersesuaian.
  • No comments:

    Post a Comment

    Jadi Pakar Coklat!